Thursday, April 14, 2011

24 perkara yang mesti ditinggalkan

Sesungguhnya didalam hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yang menyeronokkan. Tetapi itulah sesungguhnya yang mendatangkan keburukan kepada kita.

Terdapat 24 perkara-perkara yang jangan dilakukan yang seharusnya kita ambil iktibar supaya kita dapat memuhasabah diri sendiri.
Yang baik itu adalah dari ALLAH S. W. T. dan yang buruk itu dari kesilapan hambaNYA juga

1- Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai oleh ALLAH S. W. T.
2- Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki(selipar) . Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita.
3- Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ianya merbahayakan.
4- Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.
5- Jangan tidur selepas solat subuh, nanti rezeki mahal (kerana waktu pagi itu membuka segala pintu keberkatan)
6- Jangan makan tanpa membaca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan doa makan. Nanti makanan yang dijamah adalah dari muntah syaitan.
7- Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan atau kebaikan. Takut-takut anda mati dalam perjalanan.
8- Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.
9- Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
10- Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dan baiknya.
11- Jangan menangguhkan taubat bila berbuat dosa kerana mati bolehdatang bila-bila masa.
12- Jangan ego untuk meminta maaf kepada kedua ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.
13- Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Ia boleh merosakkan silaturrahim.
14- Jangan lupa bergantung harap hanya kepada ALLAH S. W. T. dalam setiap kerja kita. Nanti sombong bila berjaya dan kecewa pula bila gagal.
15- Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.
16- Jangan banyak ketawa nanti jiwa mati.
17- Jangan biasakan berbohong kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih sayang orang kepada kita.
18- Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan kerana doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH S. W. T.
19- Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan kekal selamanya. Carilah kehidupan dunia untuk akhirat.
20- Jangan duduk dalam bilik air terlalu lama kerana disitulah tempat tinggal jin kafir dan syaitan.
21- Jangan merokok dan memasang kemenyan kerana asap itu adalah makanan jin.
22- Jangan lupa membaca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan salam ketika masuk ke rumah. Dikhuatiri jin dan syaitan masuk bersama.
23- Jangan memakai tangkal kerana ALLAH S. W. T. tidak sempurnakan agama seseorang itu jika memakainya tangkai. Ini adalah kerana dikhuatiri kita bergantung kepada tangkal, bukan kepadaNYA.
24- Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata 'jangan'. Sebab semuanya untuk kebaikan dan kesungguhannya ALLAH S. W. T itu lebih mengetahui.

Wednesday, April 6, 2011

Solat dari sudut Sains


Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

Dalam pembentangan kajian pertama bertajuk Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat, Dr. Fatimah menjelaskan pergerakan dalam solat amat mempengaruhi keadaan tubuh badan.

Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat.

Jika dilihat dari sudut fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.

Pada posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang paha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan.

Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang.

Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud.

Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.

Dr. Fatimah turut menjemput seorang peserta membuat demonstrasi di pentas bagi membuktikan kebenaran kajiannya.

Peserta berkenaan mencuba seperti apa yang diarahkan dan bersetuju dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Fatimah.

Beliau menekankan kepentingan solat dan menasihatkan peserta agar tidak timbul niat menjadikan solat semata-mata untuk menjadi sihat, kerana perkara sedemikian amat bercanggah dengan tujuan solat.

Katanya, solat adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan.

Cuma apa yang ditekankan dalam kajian tersebut adalah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.

"Kajian Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat," katanya.

Dalam satu lagi sesi bertajuk Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung' Dr. Fatimah menjelaskan jantung memainkan peranan amat penting dan sangat berjasa kepada manusia.

Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60-80 denyutan seminit.

Akan tetapi bagi atlet sukan, kadar denyutan jantung mereka lebih rendah, iaitu 40-60 denyutan seminit.

Peserta diberi kefahaman bahawa, semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga.

Kesihatan jantung perlu diberi perhatian serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia.

Ia juga dikatakan pembunuh nombor satu negara kerana serangannya berlaku secara senyap dan tidak mengira keadaan.

Bahaya yang ditunjukkan akibat serangan jantung begitu membimbangkan, dan beliau berjaya menemui bukti saintifik bahawa dengan bersolat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik.

Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi.

Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit.

Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala.

Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat.

Hasil kajian beliau mendapati, posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah. UM/-

Monday, April 4, 2011

Renungan

Makan dengan tangan kiri

1. Bagi makan dan minum, kita amat dituntut untuk makan dengan tangan kanan. Makan menggunakan kiri adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Nabi dan terdapat ancaman baginda terhadap orang yang melakukannya. Di antara hadisnya ialah;

Dari bin Abi Salamah -yang merupakan anak kepada Ummu Salamah iaitu isteri Nabi- menceritakan; “Aku adalah kanak-kanak yang tinggal serumah dengan Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-. (Suatu hari aku makan bersama beliau) dan ketika makan itu tanganku bergerak ke segenap dulang (untuk mengambil makanan).

Lalu beliau berkata kepadaku; “Wahai anak! Mulakanlah makan dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah makanan yang hampir denganmu”. Sejak selepas itu, berterusan adab tersebut menjadi cara makanku. (Soheh al-Bukhari, kitab at-At’imah)

Berkata Imam as-San’ani (mengulas hadis di atas); Hadis ini menjadi dalil bahawa wajib makan dengan tangan kanan kerana Nabi mengarahkannya[1] di samping ditegaskan lagi oleh Nabi bahawa Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri[2] dan perbuatan Syaitan diharamkan ke atas manusia untuk mengikutinya.

Begitu juga, diceritakan; Seorang lelaki makan dengan tangan kiri di hadapan Nabi, lalu baginda berkata kepadanya; “Makanlah dengan tangan kanan kamu”. Lalu lelaki itu menjawab; “Aku tidak boleh”.

Nabi lalu berkata (mendoakan); “Semoga kamu akan benar-benar tidak boleh” kerana tidak menghalangnya dari mematuhi arahan Nabi itu melainkan kerana sombong. Setelah itu lelaki tersebut tidak dapat lagi mengangkat tangannya ke mulut” (HR Imam Muslim).

Nabi tidak akan mendoakan yang tidak baik melainkan ke atas orang yang meninggalkan perkara wajib (menunjukkan makan dengan tangan kanan itu adalah wajib). (Subulussalam, Imam as-Son’ani, kitab an-Nikah, bab al-Walimah)

Dikecualikan jika seseorang itu tidak berdaya, seperi tangan kanannya terpotong, lumpuh, sakit atau sebagainya, maka ketika itu haruslah ia makan dengan tangan kiri kerana seseorang tidak disuruh lebih dari kemampuannya.

Maksud makan ialah kita menyuap makanan ke dalam mulut. Itu yang dituntut dengan tangan kanan. Adapun memindahkan makanan dari hidangan ke dalam pinggan kita (seperti menceduk makanan dari bekas di hadapan kita ke dalam pinggan kita),

itu tidaklah dinamakan makan. Jika kita dapat menggunakan tangan kanan, itulah yang sebaik-baiknya. Namun jika kita merasakan memegang sudu dengan tangan kanan yang telah dicemari makanan akan menimbulkan perasaan tidak enak orang lain yang makan bersama kita, tidak mengapa kita menceduk dengan tangan kiri.

Ini kerana adat dan pandangan manusia setempat juga di ambil kira oleh Islam selagi ia tidak bertentangan dengan Syariat.

Urusan-urusan yang disunatkan dengan tangan kanan

2. Adapun urusan-urusan yang lain, para ulamak membahagikannya kepada dua jenis;
a) Urusan-urusan yang mulia
b) Urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding yang pertama.

Urusan-urusan yang mulia, disunatkan kita menggunakan tangan kanan atau mendahulukan tangan kanan. Contohnya ; mengambil wudhuk (sunat mendahulukan anggota kanan dari yang kiri), mandi wajib atau mandi sunat (sunat memandikan sebelah kanan badan terlebih dahulu), memakai pakaian,

kasut dan selipar, memakai seluar, memasuki masjid, bersugi (memberus gigi), bercelak, memotong kuku, menipiskan misai, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut, memberi salam di hujung solat, keluar dari tandas, makan, minum, berjabat tangan, melambai Hajar Aswad, mengambil sesuatu dari orang lain dan memberi sesuatu dan urusan-urusan lain yang semakna.

Adapun urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding di atas, disunatkan kita menggunakan tangan kiri atau mendahulukan yang kiri dari yang kanan. Contohnya; membuang hingus, beristinjak (membasuh kencing dan berak), memasuki tandas, keluar dari masjid, ketika menanggalkan sepatu/kasut, seluar, pakaian dan selipar, melakukan perkara-perkara yang kotor dan yang seumpamanya lagi.

Dalil bagi kaedah atau ukuran di atas ialah hadis-hadis yang banyak, antaranya;

a) Dari ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah menyukai (mendahulukan) sebelah kanan bagi semua urusannya; ketika bersuci, ketika menyisir rambut dan ketika memakai sepatu” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Sebahagian ulamak mengulas; Rasulullah suka mendahukan sebelah kanan adalah untuk membina harapan baik kerana ahli syurga adalah dari golongan kanan (Ashabil-Yamin). (Fathul-Bari)

b) Aisyah menceritakan juga; “Adalah tangan kanan Rasulullah beliau gunakan untuk bersuci (wudhuk) dan makan. Adapun tangan kirinya beliau gunakan untuk membasuh kencing dan berak dan urusan yang kotor/jijik” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini adalah soheh. Lihat dalam al-Majmu’).

c) Dari Hafsah menceritakan; “Rasulullah menggunakan tangan kanannya untuk makanannya, minumannya dan pakaiannya dan tangan kirinya untuk urusan-urusan selainnya” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini jayyid. Lihat dalam al-Majmu’).

d) Dari Ummu ‘Atiyah menceritakan; Rasulullah memerintahkan kepada perempuan-perempuan yang memandikan jenazah anak perempuannya; “Mulakan dengan memandikan sebelah kanannya dan dari anggota-anggota wudhuknya” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

e) Dari Abu Hurairah menceritakan; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila kamu mengambil wudhuk, mulailah dari sebelah kanan kamu” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dengan sanad yang soheh).

f) Dari Abu Hurairah juga; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai sepatu/kasut, mulailah dengan kaki sebelah kanan dan apabila kamu menanggalnya, mulailah dengan kaki sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang paling awal kamu pakai dan yang paling akhir kamu tanggalkan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

g) Dari Anas yang berkata; “Menjadi sunnah Nabi apabila kamu ingin memasuki masjid, mulailah dengan kaki kanan dan apabila kamu keluar darinya, mulailah dengan kaki kiri” (HR Imam al-Hakim. Hadis soheh mengikut syarat Imam Muslim).

Memakai jam dan gelang di tangan kiri

3. Berbalik kepada soalan di atas, iaitu mengenai memakai jam dan gelang tangan, oleh kerana ia adalah perhiasan, melihat kepada ukuran dan kaedah di atas; disunatkan di sebelah kanan kerana memakai perhiasan termasuk dalam kategori urusan-urusan yang mulia. Ia tidaklah wajib kerana tiada nas yang mewajibkannya tidak sepertimana wajib makan dengan tangan kanan tadi kerana ada nas yang mewajibkannya.

Malah jika kita melihat kepada pemakaian cincin oleh Rasulullah, ada hadis menceritakan Rasulullah memakai cincin di sebelah kanan dan ada juga hadis baginda memakainya di sebelah kiri (Sila baca dalam blog ini; Bagaimana Rasulullah memakai cincin?).

Perbezaan Sunat dan Sunnah

2. Mengenai perbezaan Sunat dan Sunnah;

a) Sunat merujuk kepada hukum iaitu perbuatan atau percakapan yang disunatkan iaitu jika dilakukan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidaklah berdosa. Ia adalah salah satu dari lima hukum taklifi (yakni hukum Syariat yang ditetapkan ke atas perbutan-perbuatan manusia) iaitu; wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

b) Adapun sunnah atau as-Sunnah, ia bermaksud cara hidup Nabi atau apa yang datang dari Nabi. Pengertian Sunnah lebih luas dari sunat kerana Sunnah terangkum di dalamnya semua yang diwarisi dari Nabi meliputi perbuatan Nabi, percakapan Nabi, pengakuan Nabi, sifat-sifat Nabi (sama ada sifat kejadian atau sifat akhlak) dan seerah hidup baginda (dari mula kelahiran hingga kewafatannya).

Sunnah ada yang wajib kita amalkan, ada yang sunat diamalkan dan ada yang elok untuk diikuti. Sebagai contoh tadi; makan dengan tangan kanan, ia termasuk dalam sunnah yang wajib diamalkan.

Adapun yang lain-lainnya (berwudhuk mulai dari anggota kanan, memakai pakaian, sepatu bermula dari kanan dulu, melangkah kaki kanan dulu untuk masuk masjid dan sebagainya tadi) ia adalah sunnah yang termasuk dalam kategori sunat.

(*Untuk membaca kupasan lebih terperinci tentang as-Sunnah, sila baca di blog al-Qalam, tajuk; “Kedudukan Serban Mengikut Penilaian Ulamak Islam”).

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/04/memakai-jam-di-tangan-kiri-makan-dengan.html

Cerita lawak- release tension sambil siapkan KKBI SCE3102

Cerita 1
Setelah sekian lama di perantauan akhirnya Rahmat pulang ke kampung untuk berjumpa dengan neneknya.
Nenek : "Rahmat, nenek sudah tidak kuat lagi, nenek minta kamu sambung mengusahakan kebun nenek..."
Rahmat : "Jangan cakap macam tu, nek..." (dalam hati, tak sia-sia aku balik kampung... dapat pulak harta pusaka nenek).
Nenek : "Segala isi perkebunan, ternakan, villa, traktor untuk kamu. Tolong jaga baik-baik, jangan lupa disiram tiap hari tanaman nenek."
Rahmat : "Baik nek, nenek jangan bimbang tentang hal itu... Tapi dimana kebun nenek? Rahmat tidak pernah tahu?"
Nenek : "Di Facebook nenek, FARMVILLE, nanti nenek bagi tau passwordnya."
Rahmat : "?????"

Cerita 2
Kerana sudah berasa insaf, Rizal pergi kesebuah surau untuk mendengar ceramah agama. Ketika tabung derma di edarkan, dia dengan segera membuka dompetnya dan memasukkan RM2 ke dalam tabung derma itu.
Tiba-tiba, seorang pak cik yang duduk di belakangnya menepuk bahunya dan memberikannya duit sebanyak RM200 kepada Rizal. Rizal tersenyum. Dia mengambil duit itu dan memasukkan kedalam tabung derma itu juga. Rizal menoleh dan berasa kagum dengan kemurahan hati pak cik itu . Tidak berapa lama kemudian, pak cik dibelakang Rizal kembali menepuk bahunya dan Rizal mendengar bisikan dari pak cik itu "Encik, kata pak cik tersebut, duit RM200 itu sebenarnya terjatuh dari beg duit encik tadi".
Cerita 3
Zaki seorang Mat Rempit sejati. Dia sanggup tidak bekerja semata-mata untuk menjadi Mat Rempit sepenuh masa. Kerjanya setiap hari hanyalah menunggang motor secara berbahaya di jalan-jalan sekitar kampungnya sambil menyergah dan mengurat anak anak gadis di kampungnya.
Pada suatu hari, malang tidak berbau, Zaki terlibat di dalam satu kemalangan di hadapan kubur cina kampungnya. Akibat terkejut, Mak Limah yang kebetulan di dalam lori yang disergah oleh Zaki telah melatah sehingga tangannya membaling sebatang lembing tepat-tepat terpacak di dahi Zaki sehingga tembus ke belakang tengkuk Zaki.
Bergegas Pak Amin ayah zaki ke hospital sebaik sahaja mendapat berita tentang anaknya yang cedera itu. Sebaik sahaja sampai di hospital, Pak Amin bertanya kepada Doktor tentang keadaan anaknya,
Pak Amin: Bagaimana keadaan anak gua doktor?
Doktor: Harap bertenang Pak Cik, anak pakcik cedera parah.
Pak Amin: Bagaimana keadaan kecederaannya Doktor?
Doktor: Sebatang lembing terpacak di dahi anak Pak Cik tembus ke belakang tengkuknya. Kami takut sekiranya lembing itu terkena otaknya, anak pak cik boleh mati.
Pak Amin: Kalau tak terkena otak dia, dia mati tak doktor?
Doktor: Kalau tak kena tak matilah! Tetapi dalam keadaan sekarang keadaan itu adalah mustahil.
Pak Amin: Oh begitu.... Alhamdulillah selamat anak gua...
Doktor: Kenapa pak cik? Pak Cik tak bimbang ke lembing tu terkena otaknya?
Pak Amin: Anak saya tu Mat Rempit Doktor, Mat Rempit mana ada otak!