Tuesday, August 9, 2011

34 minit sehari


Apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan, kadang-kala kita terlalu sibuk sehinggakan kita jadikan ia alasan untuk melengah-lengahkan solat atau lebih teruk lagi, meninggalkannya terus. Jikadilakukan sedikit pengiraan, dalam sehari, kita perlu menunaikan solat:

  • Subuh: 2 rakaat
  • Zuhur: 4 rakaat
  • Asar: 4 rakaat
  • Maghrib: 3 rakaat
  • Isyak: 4 rakaat
Jadi jumlah keseluruhan adalah 17 rakaat sehari. Katakan seseorang itu mengerjakan solat lebih kurang 2 minit untuk setiap rakaat, maka jumlah masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari hanyalah selama 34 minit. Dalam sehari ada 24 jam bersamaan 1440 minit. Jika dikira peratusan masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari, hanyalah 2.36%.


Bagaimana pula dalam masa seminggu? 34 minit darab 7 bersamaan 238 minit. 238 minit bersamaan dengan 3.97 jam. Jika dikira dalam sebulan pula, katakan purata dalam sebulan ada 4 minggu.3.97 jam darab 4 bersamaan dengan 15.88 jam.

Dalam setahun pula, 15.88 jam sebulan darab dengan 12 sama dengan 190.56 jam. 190.56 jam ini jika ditukarkan kepada unit hari adalah bersamaan dengan 7.94 hari. Rupanya dalam setahun, masa kita untuk sembahyang hanyalah lebih kurang 8 hari.

Kita kira dari segi purata umur manusia pula. Katakan purata umur seseorang adalah sehingga 60 tahun. Umur 10 tahun merupakan umur seseorang mencapai akil baligh dan sudah mula wajib untuk menunaikan solat. Ini bermakna, seseorang yang berusia 60 tahun perlu bersolat selama 50 tahun. Jika dalam setahun, masa yang diambil untuk menunaikan solat hanyalah 7.94 hari, maka dalam tempoh waktu 50 tahun, masa yang diambil untuk menunai solat hanyalah 397 hari. 397 hari lebih kurang bersamaan 1 tahun 1 bulan.

Bayangkan dalam sepanjang umur kita, Allah hanya menyuruh kita menggunakan 1 tahun 1 bulan dari keseluruhan umur 60 tahun kita untuk menunai solat. Itupun kadangkala masa solat kita kurang kerana uzur, jama', kurang 2 rakaat untuk solat Jumaat.

Jika difikirkan kembali, 34 minit sehari adalah sangat singkat. Tengok wayang 2 jam, shopping berjam-jam, 34 minit tu tak luak pun masa 24 jam kita untuk sehari. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki solat kita dan menghargai masa 34 minit itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh khusyuk.

Tahap keimanan penentu rasa takut kepada Allah

WAKTU siang atau malam, di mana juga kita berada, patut ditanamkan dalam hati rasa takut kepada Allah. Dengan kata lain, sepanjang masa kita hendaklah sentiasa berasa takut kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Berlakunya kemungkaran dan maksiat di sekeliling kita hari ini disebabkan rasa takut akan azab dan seksaan maha pedih dari Allah tidak ada dalam hati mereka yang melakukannya dan ini menunjukkan mereka tidak takut sama sekali dengan Allah.

Takut adalah sifat terpuji dan patut ada dalam hati setiap mukmin yang ingin mendapatkan takwa. Dengan adanya perasaan takut membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran yang mendatangkan dosa hingga menjerumuskan ke api neraka di akhirat kelak.

Jika kita ada rasa takut kepada Allah, sudah pasti kita tidak akan berani melanggar perintah-Nya. Rasa takut akan mendorong seseorang itu benar-benar menghambakan dirinya kepada Allah. Semua perintah Allah akan dipatuhinya dan larangan ditinggal-kannya.

Seorang ulama telah berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.”

Walaupun Rasulullah SAW bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin Allah dengan syurga, di hati Baginda tertanam rasa takut kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu semua itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri.” (Surah al-Anfal, ayat 2)

Orang yang betul-betul kenal dan takut kepada Allah hanya lahir di hati mereka yang mempunyai sikap tawakal atau penyerahan pada Allah. Dengan kata lain, hanya orang beriman saja yang akan dapat merasai rasa takut itu.

Ibn Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ada dua mata yang tidak disentuh api neraka, iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut kepada Allah dan mata yang celik kerana terjaga dalam peperangan di jalan Allah.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika berasa gentar hati seorang mukmin kerana takut kepada Allah, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang runtuh dari pohonnya.” (Dari kitab Tanbihul Ghafilin II)

Sebenarnya rasa takut kepada Allah ini bergantung kepada tingkat keimanan seseorang. Jika sekadar percaya adanya Allah tetapi tidak dapat berasa-kan takut kepada Allah, maka iman orang itu amat tipis dan lemah kerana tidak dapat berasa gerun kepada neraka serta azab Allah.

Dengan kata lain, tidak ada rasa takut dan gerun kepada Allah menandakan hati seseorang itu telah mati. Al-Quran mengingatkan mengenai seksaan pedih bakal diterima orang yang derhaka (tidak takut) dan balasan nikmat bagi mereka yang melakukan kebaikan (takut).

Lukman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Berharaplah kepada Allah dengan sesungguhnya sehingga kamu berasa aman dari tipu daya dan takutlah kepada-Nya supaya kamu tidak terputus dari rahmat dan kasih sayang-Nya.”

Secara umum kita dapat mengenal orang yang memiliki rasa takut kepada Allah melalui tanda seperti banyak membaca al-Quran, rajin mengerjakan solat wajib dan sunat, selalu membelanjakan hartanya di jalan Allah, mengeratkan silaturahim dan menjauhkan daripada perkara mungkar.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah An-Naziat, ayat 40-41)