Tuesday, September 13, 2011

Tanda Kebesaran Allah Dalam Kejadian Hujan

Berlaku perselisihan pandangan di antara dua tamadun mengenai topik kejadian hujan, awan, dan angin di antara dua tamadun kemanusiaan:

Tamadun yang pertama : tamadun zaman kegelapan
Ia merupakan tamadun di mana manusia masih mempunyai tahap pemikiran yang tidak berkembang, kefahaman yang sempit, dan dikuasai pemikiran mendatar. Oleh kerana tenggelam dalam pemikiran tersebut maka mereka hanya menggambarkan hujan hanya turun dari lubang-lubang tangki air yang banyak di langit dan gambaran ini telah menafikan bahawa ada kitaran awan dan dan angin yang disebut oleh ayat-ayat Al-Quran.
Tamadun kedua : tamadun zaman penjajahan
Ia adalah satu tamadun yang bermula dengan perkembangan sains dalam bentuk kajian yang meluas, dan ia wujud dalam suasana ethis yang beruasaha menyelewengkan fakta-fakta tentang kejadian alam dan mentafsirkannya dalam gambaran yang jauh dari petunjuk iman. Kerana setiap kali terdedah satu-persatu rahsia kejadian tuhan, mereka mengaburkannya dengan apa yang buruk seperti unsur dalam ajaran ethis dan kesesatan !Dan oleh kerana mereka ini adalah orang yang sentiasa mengkaji, maka manusia mempercayai tafsiran mereka. Mereka mentafsirkannya dengan apa sahaja yang diingini dan didorong oleh kejahilan mereka dan permusuhan mereka terhadap agama-agama serta penganut-penganutnya. Di antara kata-kata mereka : bahawa hujan adalah suatu kejadian semulajadi, sedangkan ia adalah seperti kepanasan yang memanaskan air laut. Bahagian-bahagian panas yang berada di permukaan laut itu disebabkan perhubungan di antara zarah-zarah air yang kuat lalu ia menjadi menjadi ringan dan terbang di udara, kemudiannya datang angin meniup wap ini dan membawanya ke tempat yang sejuk cuacanya lalu ia membeku dan menjadi awan, kemudiannya ketulan-ketulan itu menjadi berat dengan bertambah besar saiznya lalu menurunkan hujan. Dan keputusan kajian sains ini mengatakan terjadi cas-cas elektrik lalu menjadi kilat dan guruh. Mereka bercakap tentang perkara ini bahawa semuanya adalah suatu yang semulajadi? Maka ini tafsiran kepada ketetapan tuhan yang mana orang-orang Islam mula mengambil pendirian gopoh dengan menerimanya dan setengah yang lain berpendirian menolaknya secara umum dan khusus, maka mari kita sama-sama melihat ayat-ayat Al-Quran dan apa yang ditunjuk oleh hakikat sebenar dan bukti-bukti.
PEMBENTUKAN AWAN :
Kepanasan matahari menyejatkan air laut lalu ia naik ke langit dalam keadaan baik, yang boleh diminum. Tetapi wap ini tidak terus naik untuk menurunkan air ke bulan atau Marikh, dimaksudkan menurunkan air dengan maksud menurunkan hujan ke atas hamba-hamba Allah di tengah-tengah benua dan semua penjurunya, kerana keperluannya ada di sana. Allah Taala telah menetapkan satu undang-undang dan ketetapan yang hebat pada kepanasan ini yang mengubah air laut menjadi hujan untuk hamba-hambanya, jika terlebih sedikit kepanasan matahari pasti tersejat air laut kesemuanya. Tetapi kepanasan tersebut ditetapkan pada satu kadar. Dan jika keluasan laut kurang dari jumlah yang ada sekarang iaitu (3/4 daratan) sudah pasti hujan akan sedikit dari kebiasaan kerana kadar hujan akan berkurangan apabila kurang jumlah keluasan lautan. Setiap tahun bertambah kepanasan matahari, dengan izin Allah lebih kurang 400.000 kilometer persegi permukaan kering, turun satu pertiga air hujan di laut-laut ketika ia hampir sampai ke daratan dan keadaan hujan, salji, embun atau titisan.
KETETAPAN ALLAH DALAM PROSES CIPTAAN AIR HUJAN YANG BAIK
1. Proses Mengangkat Awan, Menghentikannya, Dan Menguraikannya :
Allah Taala telah menjadikan kepanasan matahari dan angin menjadi sebab terangkat wap air dari laut sehingga ke tahap melepasi bukit-bukit dan demikian itu supaya bukit-bukit tidak menghalang peralihan air dari atas laut sehingga ke tengah-tengah benua, dan supaya bercantum bahagian-bahagian lain membentuk awan. Dan Allah Taala menetapkan had bagi pengewapan air ini di mana ia akan berhenti apa sampai di tahapnya dan tidak melebihinya sehingga ke penjuru alam yang tinggi supaya ia tidak meninggalkan bumi tanpa kembali kepadanya. Berfirman Allah Taala :
﴿وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ فَأَسْكَنَّاهُ فِي الْأَرْضِ وَإِنَّا عَلَى ذَهَابٍ بِهِ لَقَادِرُونَ﴾ (المؤمنون:18)
Maksudnya :
“Dan Kami turunkan dari langit itu air dengan kadar yang ditetapkan dan Kami masukkannya ke dalam bumi dan Kami berkuasa menghilangkannya (air hujan)”
Allah taala mengangkat wap air dan tidak mengangkat bersamanya garam yang bercampur dengannya dalam laut supaya tidak memudaratkan manusia, haiwan, dan tumbuhan. Jika kita minum air tersebut sedangkan ia masin dan siram tanaman kita dengannya pasti ia merosakkan tubuh kita dan memusnahkan tanaman dan haiwan. Al-Quran telah menyebut perkara tersebut dalam firman Allah Taala :
﴿أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ(68)ءَأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُونَ(69)لَوْ نَشَاءُ جَعَلْنَاهُ أُجَاجًا فَلَوْلَا تَشْكُرُونَ(70)﴾ (الواقعة:68-70)
Maksudnya :
“ Adakah kamu tidak melihat kepada air yang kamu minum. Adakah kamu yang menurunkannya dari awan atau kami yang menurunkannya? Jika kami mahu kami akan jadikan ia masin maka jika kamu tidak bersyukur”.
أجاجاً bermaksud masin.
2. Proses Pengumpulan Wap Air :
Wap air itu ringan dan mudah naik ke tempat yang tinggi dan tidak dapat dilihat melainkan semasa ia membentuk menjadi awan. Allah Taala menghantar angin yang membawa zarah-zarah debu, tanah, benih-benih tumbuhan, dan semua jenis zarah-zarah yang membentuk awan. Juzuk-juzuk kecil wap air diterbangkan angin lalu ia menggerakkannya, berkumpul bersama juzuk-juzuk kecil tersebut dan membentuk kelompok air dan menjadi ketulan-ketulan air yang kecil yang boleh dilihat oleh kita iaitu awan. Apabila bertambah besar ketulan-ketulan tersebut ia akan menjadi ketulan yang berat dan menurunkan hujan.
Allah Taala berfirman :
﴿اللَّهُ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُ فِي السَّمَاءِ كَيْفَ يَشَاءُ وَيَجْعَلُهُ كِسَفًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ فَإِذَا أَصَابَ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ ﴾ (الروم:48).
Maksudnya :
“Allah taala mengutuskan angin-angin lalu ia menggerakkan awan lalu membentangkan ia di langit sebagaimana dia kehendaki dan menjadikannya berkelompok, kemudian kamu melihat hujan turun dari celah-celahnya. Maka apabila air hujan turun ke atas orang yang dikehendakinya di kalangan hambaNya maka mereka akan bergembira”.
3. Proses Pergerakan Awan :
Di sana terdapat satu ketetapan tuhan iaitu peralihan air dari atas permukaan laut ke tengah-tengah benua dan proses ini dibantu oleh angin yang menggerakkan awan tanpa meminta dari manusia sebarang bayaran atau gaji, kerana ia ditugaskan untuk mereka dengan perintah Allah Azzawajalla. Allah Taala berfirman :
﴿وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ حَتَّى إِذَا أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَاهُ لِبَلَدٍ مَيِّتٍ فَأَنْزَلْنَا بِهِ الْمَاءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ كَذَلِكَ نُخْرِجُ الْمَوْتَى لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴾ (الأعراف:57)
Maksudnya :
“Dialah (Allah) yang mengutus angin-angin sebagai khabar gembira di hadapan rahmatnya sehingga angin itu membawa awan menjadi berat kami gerakkan ia ke negeri yang mati (tidak subur) lalu kami turunkan hujan dengan sebab awan tersebut, maka kami tumbuhkan dengan sebabnya (air hujan) bermacam-macam buah-buahan. Seperti demikian juga kami hidupkan orang-orang mati mudah-mudahan kami mendapat peringatan”.
Ayat ini mengkhabarkan kita bahawa angin menggerakkan awan, dan sesungguhnya ia menggerakkannya dengan perintah dari Allah s.w.t “سقناه لبلد ميت”. Telah terbukti bahawa di sana terdapat kawasan-kawasan gurun kering-kontang menjadi kawasan pertanian. Sama juga sebagaimana Allah Taala mengubah suatu kawasan yang kontang menjadi kawasan yang subur itu, begitu dia membangkitkan orang yang mati dengan menurunkan hujan dari langit yang menumbuhkan jasad-jasad manusia. Allah Taala berfirman :
﴿…فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ كَذَلِكَ نُخْرِجُ الْمَوْتَى لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴾ (الأعراف:57)
Perhatilah pada perumpamaan tersebut sekali, dua, dan tiga dan perhatikanlah kepada hikmah di sebalik ketetapan kadar angin. Ia bergerak mengikut kadar yang ditetapkan dan ditepati dimana kadar dan kelajuannya amat sesuai untuk peralihan awan dan ia tidak menyebabkan kemusnahan. Allah Taala telah memperlihatkan kepada kita ibarat dengan beberapa angin kencang dan puting beliung yang memusnahkan mencapai kelajuannya sehingga 75 batu sejam. Apabila kelajuan angin mencapai 200 batu sejam pasti tiada hidupan yang wujud di muka bumi melainkan kesemuanya telah dimusnahkan oleh angin tersebut. Untuk mengetahui tanda-tanda rahmat Allah Taala terhadap kamu maka ketahuilah bahawa angin yang berskala laju ini ada di bumi di atas kepala kamu dengan jarak antara kamu dengan angin tersebut hanyalah lima batu sahaja, yang dipanggil sebagai zon gelombang angin. Angin-angin yang bergerak dengan kelajuan 200 batu sejam pada ketinggian lima batu di atas permukaan laut itu jika ia hampir kepada permukaan bumi pasti akan musnah sistem ekosistem, turut musnah juga sistem hujan. Jika tempat itu nombor tiga menggantikan tempat nombor satu di atas muka bumi pasti air tidak akan bergerak ke tengah benua dan hujan sentiasa turun di atas permukaan laut sekaligus manusia, haiwan, dan tumbuhan akan mati kerana kehausan. Maka perhatilah pada pentadbiran yang bijaksana di bumi ini.
4. Proses Penurunan Hujan
Awan yang berarak di antara langit dan bumi mempunyai keseimbangan graviti yang menariknya turun ke bawah dengan wujudnya kekuatan yang mengangkatnya ke atas. Jika berterusan keseimbangan di antara dua proses ini sudah pasti tidak akan turun hujan dalam bentuk setitis yang besar tetapi Allah Azzawajalla mengutuskan angin-angin untuk membawa awan-awan ke bahagian yang tinggi yang lebih sejuk suhunya kemudian ia menjadi awan bertambah besar dan bertambah saiz titisan. Bertambah air dalam titisan itu dan menjadi berat dan graviti mula menariknya dengan kuat mengatasi kekuatan mengangkat lalu ia menurunkan hujan dengan kekuasaan Allah s.w.t.
Allah Taala berfirman :
﴿وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ حَتَّى إِذَا أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَاهُ لِبَلَدٍ مَيِّتٍ فَأَنْزَلْنَا بِهِ الْمَاءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ كَذَلِكَ نُخْرِجُ الْمَوْتَى لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴾ (الأعراف:57)
Maksudnya :
“Dialah (Allah) yang mengutus angin-angin sebagai khabar gembira di hadapan rahmatnya sehingga angin itu membawa awan menjadi berat kami gerakkan ia ke negeri yang mati (tidak subur) lalu kami turunkan hujan dengan sebab awan tersebut, maka kami tumbuhkan dengan sebabnya (air hujan) bermacam-macam buah-buahan. Seperti demikian juga kami hidupkan orang-orang mati mudah-mudahan kami mendapat peringatan”.
Supaya hujan itu tidak turun dalam keadaan seketul maka Allah Taala menjadikan proses penguraian ([11]) pada titisan-titisan hujan menjadi sebab hujan turun dalam bentuk titisan kecil sehingga tidak berlaku kemusnahan di atas muka bumi.
5. Proses Pergerakan Air Hujan Dan Taburannya Di Muka Bumi :
Allah Taala menjadikan proses pembentukan sungai sebagai cara mengalirkan air hujan di muka bumi dan menyebarkannya ke tempat-tempat yang jauh supaya dapat dimanfaatkan di seluruh kawasan. Maka air ini ada yang mengalir menjadi sungai di atas muka bumi, mata air, dan tali air yang tersebar seperti mengalir peluh dan darah darah dalam badan manusia, Allah Taala berfirman :
﴿ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا ﴾ (الرعد:17)
Maksudnya :
“…. Dia (Allah) menurunkan dari langit itu air lalu ia mengalir di lembah-lembah mengikut kadarnya”.
Dan firmanNya lagi :
﴿ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ ﴾ (إبراهيم:32)
Maksudnya :
“……. Dia (Allah) menundukkan sungai-sungai supaya berkhidmat kepada kamu(manusia)”.
Sebagaimana air mengalir di dalam perut bumi di laluan-laluan yang tertentu di celah batu-batan seperti bekas apabila ia pecah mana bahagian ia akan mengeluarkan mata air, maka manfaatnya boleh diambil dari air yang tersimpan dalam bumi tersebut sehingga kawasan-kawasan gurun yang jauh menjadi subur dan lain-lain kawasan. Berfirman Allah Taala :
﴿ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ ﴾ (الزمر:21).
Maksudnya :
“……. Dia (Allah) menundukkan sungai-sungai supaya berkhidmat kepada kamu(manusia)”.
6. Proses Muka Bumi Meresap Air :
Jika air hujan itu kekal di atas muka bumi pasti akan terbentuk laut-laut kecil dan banjir-banjir besar yang memusnahkan kehidupan manusia. Maka mereka tidak boleh berjalan, bercucuk tanam atau membina di atas muka bumi yang dilimpahi air, tetapi Allah Taala menjadikan muka bumi secara khusus yang membolehkan air masuk ke dalamnya dan meresap air ke lapisan di bawah kerak bumi di mana ia boleh bergerak di dalam laluan-laluan dan berkumpul di satu tempat pengumpulan di dalam perut bumi yang jauh dari dihindari kuman-kuman. Air ini meninggalkan muka bumi dalam keadaan bersih untuk hidupan di atasnya tanpa ada yang tercemar. Allah Taala berfirman :
﴿… فَأَسْكَنَّاهُ فِي الْأَرْضِ… ﴾ (المؤمنون:18) .
Maksudnya :
“…….maka kami tetapkannya (air) di dalam bumi…..”
7. Proses Penyimpanan Air Dalam Perut Bumi :
Jika berterusan proses air meresap ke dalam bumi dan berkumpul di dalamnya pasti air itu hilang dari kita dan berada dalam perut bumi yang dalam dan kita tidak mampu memanfaatkannya secara berterusan. Tetapi Allah Taala menjadikan pada lapisan yang hampir dengan permukaan bumi beberapa tempat pengumpulan air yang dilindungi batu-batan dan pasir yang menghalangnya dari terus meresap ke dalam bumi. Ia menjadikannya dekat kepada manusia supaya mudah dimanfaatkan dengan air yang mengalir. Allah Taala berfirman :
﴿قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ أَصْبَحَ مَاؤُكُمْ غَوْرًا فَمَنْ يَأْتِيكُمْ بِمَاءٍ مَعِينٍ ﴾ (الملك:30).
Maksudnya :
“Katakanlah wahai Muhammad : adakah kamu melihat jika air meresap ke dalam bumi maka siapa yang mengeluarkan air yang keluar dari bumi”.

Tuesday, September 6, 2011

Puasa Sunat Enam Syawal


Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan.

Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.

Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.

Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya.

Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.

Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري

Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat.

Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya).

Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya.

Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:

(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.