Friday, December 23, 2011

Solat Berjemaah......Jom

Pengertian solat jemaah
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
  1. Fardhu ain pada solat Jumaat;
  2. Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan
  3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,
Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.
Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.
Selepas ini insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan solat berjemaah.
Wallahu a’lam.

Wednesday, December 21, 2011

Mencari Keberkatan Umur,Rezeki Dan Anak-Anak Dalam Hidup Kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera dan Selamat Tahun Baru Hijrah...

1- Membaca Al-Quran Setiap Hari
Firman Allah Ta’ala:{وَهَذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ}
(Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya). Surah Al-An’aam:92
Allah Ta’ala telah menjadikan Al-Quran sebagai satu sumber yang mengandungi keberkatan (banyak faedah-faedah dan manfaatnya) kepada hamba-hambaNya yang suka membaca,mengamalkan isi kandungannya,mengambil pengajaran dan berhukum dengan hukuman yang ditentukan oleh Allah Ta’ala serta melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Rasulullah s.a.w juga bersabda :
البيت الذي يذكر فيه القرآن تسكنه الملائكة، وتهجره الشياطين، ويتسع بأهله ويكثر خيرًا
( Rumah yang sentiasa dibacakan Al-Quran (oleh tuannya) akan didiami oleh Malaikat,manakala syaitan-syaitan akan meninggalkan rumah tersebut dan (bacaan Al-Quran) akan memberi kelapangan dan dilimpahi kebaikan terhadap para ahli keluarganya).
2- Taqwa Dan Beriman Kepada Allah Ta’ala
Firman Allah Ta’ala: {وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ}
(Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi).
Jelaslah kepada kita,ayat di atas menerangkan bahawa orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah akan dilimpahi keberkatan pada dirinya,ahli keluarganya dan masyarakat yang didiaminya.
3- Sentiasa Memulakan Sesuatu Perbuatan Dengan Basamalah
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
إذا دخل الرجل بيته فذكر الله تعالى عند دخوله وعند طعامه قال الشيطان لأصحابه: لا مبيت لكم ولا عشاء
(Apabila seorang masuk ke dalam rumahnya lalu menyebut nama Allah (berdoa) dan berdoa ketika makannya, maka syaitan berkata kepada rakan-rakannya “Tiada tempat bermalam bagi kamu dan tiada makanan kamu “.
Berdasarkan pemahaman hadis di atas,kita digalakkan untuk memulakan setiap pekerjaan kita dengan membaca basmalah untuk mendapat keberkatan sekaligus beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
Lafaz Basmalah :
4- Istigfar ( Memohon Keampunan)
Sentiasa beristigfar merupakan satu amalan yang sangat dituntut di dalam Islam untuk membersihkan segala dosa-dosa yang telah kita lakukan.Semoga dengan memperbanyakkan istigfar,dosa-dosa yang kita lakukan terhapus dan jiwa kita suci dari titik-titik hitam dosa.
Rasullah s.a.w bersabda :
من لزم الاستغفار جعل الله له من كل ضيق مخرجًا ومن كل هم فرجًا ورزقه من حيث لا يحتسب
(Barangsiapa sentiasa memohon keampunan, Allah jadikan daripada setiap kesusahan (baginya) kelapangan dan daripada setiap kesempitan (baginya) jalan keluar dan Allah beri rezeki kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka). Ibnu Majah 834.Hadis Doif.